fbpx

Suspek dadah ada dua warganegara, Malaysia dan Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pangkalan haram Gergaji merupakan lokasi tumpuan rakyat Malaysia dan Thailand untuk merentas Sungai Golok secara haram dengan menaiki sampan. FOTO ROHANA ISMAIL

NARATHIWAT, THAILAND – Kebanyakan ahli sindiket pengedaran atau suspek kes dadah yang ditangkap di negara ini mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Thailand.

Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Polis Pratya Baiteh berkata, suspek yang dicekup terlibat kes-kes dadah di kawasan sempadan Thailand juga didapati menggunakan nama dan identiti yang berbeza pada kad pengenalan kedua-dua negara.

Pratya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Polis Narathiwat, Thailand semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati, kelebihan memiliki dua kad pengenalan itu sekali gus memudahkan mereka untuk melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand sekiranya mereka diburu oleh pihak polis kedua-dua negara.

“Apabila polis menjalankan siasatan terhadap suspek kes dadah, kita dapati mereka ada kad pengenalan Malaysia dan Thailand. Nama pada dua kad pengenalan itu juga berbeza apabila mereka mempunyai nama yang berlainan di kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, gambar yang tertera pada kedua-dua kad pengenalan itu adalah individu yang sama. Perkara itu terbongkar selepas kita menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek-suspek atau ahli sindiket yang dicekup terlibat kes dadah,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Narathiwat di sini semalam.

Pratya memberitahu, selain itu, kebanyakan suspek yang terlibat dengan sindiket dadah dipercayai individu berbangsa Melayu dan Islam malah mereka sudah berasimilasi atau sebati dengan budaya kedua-dua negara.

Menurutnya, selain itu, alamat yang berbeza pada kedua-dua kad pengenalan juga sedikit menyukarkan usaha memburu atau mencari suspek-suspek yang terlibat dengan kes-kes dadah di negara ini.

“Tiada semua yang ditahan terlibat kes dadah di Narathiwat mempunyai dua kewarganegaraan, tetapi kebanyakannya ada dua dokumen pergerakan diri.

“Mereka boleh merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram sebelum tinggal di mana-mana sahaja lokasi di kedua-dua negara jika diburu oleh pihak berkuasa di Malaysia atau Thailand . Kad pengenalan yang ada dalam milikan mereka itu sah di sisi undang-undang kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, kita di Narathiwat sentiasa bekerjasama dengan pihak polis di Malaysia khususnya Kelantan untuk memburu suspek-suspek terlibat. Polis kedua-dua negara saling bertukar maklumat untuk mengekang jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pratya memberitahu, kes-kes melibatkan dadah sentiasa menjadi perhatian pihak polis di Narathiwat kerana ia juga melibatkan hubungan dua negara.

Menurutnya, justeru, rakyat Malaysia diseru untuk tidak melakukan kesalahan atau jenayah melibatkan dadah kerana negara ini mempunyai undang-undang dan hukuman berkait kes narkotik.

“Thailand bukan sebuah negara yang bebas untuk menghisap, mengambil dan terlibat kegiatan mengedar dadah. Layanan polis terhadap suspek kes-kes dadah sama sahaja tidak kira warga asing atau rakyat tempatan sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI