KUALA LUMPUR – Masih baharu dalam industri seni, pelakon Siti Khadijah mengakui pernah dibuli kru produksi pada awal kemunculannya dahulu.
Sehubungan itu, Siti atau nama lengkapnya Siti Khadijah Abdul Halim, 27, berharap budaya buli tidak menjadi kebiasaan atau dilazimkan dalam masyarakat.
“Pernah (dibuli) pada awal-awal kemunculan dahulu tetapi saya faham mungkin sebab saya budak baharu.
Saya pernah dicampak skrip, disimpan dalam set penggambaran sepanjang hari tanpa ada babak walaupun katanya ada.
“Dimaki jadi biasa tetapi saya rasa perkara tersebut tidak patut dinormalisasikan” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan episod akhir drama From Saga With Love 2, semalam.
Bagaimanapun, dia menyifatkan budaya buli memberikan impak ke arah positif apabila dia mampu bertahan dan kuat mendepani cabaran dalam bidang seni.
“Harap buli tidak dinormalisasikan. Kalau saya nampak orang kena buli, saya akan pertahankan.
Nasib saya dididik menjadi kuat dari kecil dan tahan dengan apa yang terjadi. Kalau tak, mungkin saya tidak berada pada tahap ini.
“Segala pengalaman yang dilalui jadikan saya tidak pernah putus asa. Menangis memang menangis tetapi bangun balik,” ujarnya.
Selain itu, Siti turut menitipkan nasihat kepada sesiapa yang dibuli untuk meluah kesedihan agar tidak menganggu ketenteraman minda.
“Dulu saya pernah luah dalam media sosial tetapi itu tindakan yang salah. Jangan dedahkan kesedihan awak, hanya paparkan kebahagiaan dalam media sosial.
“Apa yang saya buat untuk atasi hanyalah menangis. Marah sahaja dekat tembok ataupun orang sebelah.
Kalau marah, luahkan. Jangan simpan sebab akan menganggu minda kita,” jelasnya.
Kenyataan Siti diluahkan berhubung pelakon, Alif Muhaimin mendedahkan budaya buli dalam kalangan pelakon senior dan junior masih lagi berlaku sehingga hari ini.
Katanya, dia juga pernah berhadapan dengan situasi dibuli kru produksi sehingga membuatkannya ingin berhenti berlakon. – KOSMO! ONLINE