PETALING JAYA – Menjelaskan situasi sebenar, isteri kepada pelawak Shuib menangkis tuduhan yang mendakwa suaminya menyalahgunakan wang syarikat Bubblebee Sdn. Bhd.
Wati atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, berkata, sebaliknya Shuib menggunakan duit simpanan sendiri bagi membayar gaji pekerja syarikatnya.
Dia sudah bertahun tak ambil gaji malah setiap bulan tambah duit poket sendiri untuk bayar gaji pekerja,” katanya menerusi Instastory.
Kenyataan tersebut dikongsikan sebagai maklum balas terhadap satu fitnah yang dilemparkan terhadap Shuib selaku pengarah syarikat pengeluar minuman itu.
Pihak terbabit menuduh pelakon juga usahawan itu menggunakan wang syarikat untuk mengerjakan umrah bersama isteri dan tiga anaknya, baru-baru ini.
Ini susulan tindakan mahkamah yang mendenda Shuib bersama seorang lagi pengarah Bubbleebee, Kho Choon Guan atas kesalahan tidak membayar tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja Bubblebee.
Menurut Watie lagi, masalah berpunca daripada pengurusan terdahulu sehingga memberikan kesan terhadap situasi kewangan syarikat sekarang sekali gus mengakibatkan impaknya terpalit kepada Shuib.
Pada masa sama, usahawan berkenaan yakin suaminya seorang individu yang akan menjauhi perkara tidak baik.
Pengurusan lama yang bermasalah tetapi akhirnya dia (Shuib) yang difitnah begini.
“Semoga suamiku diberi ketabahan. Insya-Allah dia kenal halal dan haram,” ujarnya.
Isnin lalu, Shuib bersama Kho didenda sebanyak RM17,500 di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Perkeso tahun lalu. – KOSMO! ONLINE