SHAH ALAM – Posisi diganti Vanessa Ben Reynauld, penyanyi Misha Omar tidak dapat membawakan lagu ciptaannya sendiri bersama Sharon Paul, Masihkah Ada Rasa Itu di Separuh Akhir Muzik Muzik 39 (SFMM39) tanpa sebarang menyatakan alasan.
Perkara itu diumumkan pengacara program, Izzue Islam sebelum tiba giliran Vanessa, 24, sebagai penyanyi ke-15 yang muncul di pentas Studio NTV7, malam ini.
“Misha tidak sampaikan lagu ini atas hal yang tidak dapat dielakkan,” katanya pada siaran langsung SFMM39.
Ketiadaan Misha atau nama sebenar Samihah @ Aisah Omar, 42, ini pada awalnya menimbulkan tanda tanya, namun penyanyi gantian memberikan persembahan cemerlang, sekali gus meraih sorakan penonton.
Masihkah Ada Rasa Itu antara 30 lagu yang mara ke SFMM39 untuk merebut 10 posisi ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2025.
Malam ini antara 17 lagu dipersembahkan termasuk Pujaanku nyanyian Masdo dan Aisyah Aziz, Memori Mungkin Berulang (Tomok & Siti Nordiana), Tangis (Nabila Razali) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip).
Manakala, pada malam esok 13 lagi calon AJL 39 bakal dipertaruhkan sebelum keputusan 10 karya terbaik diumumkan mara untuk merebut trofi utama.
Sementara itu, satu lagi lagu Angau nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Fahimi Rahmat, turut digantikan dengan penyanyi Sharul Kamal.
Difahamkan penyanyi yang berusia 27 tahun itu kini mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
SFMM39 membariskan juri profesional Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, LY Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad yang diketuai Edry Abdul Halim.
Kedua-dua saringan SFMM39 dikendalikan Izzue bersama Fiza Frizzy. – KOSMO! ONLINE