IPOH – Saksi pendakwaan ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat beberapa pelajar sekolah ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal sebelum kejadian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie dilanggar kereta Perodua Ativa.
Menurut suri rumah, Zuraida Hassan, 46, kumpulan pelajar berkenaan juga dilihat berpusing-pusing di kawasan sekitar antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dan Masjid Muhammad Al Fateh.
Katanya, kejadian tersebut disaksikan ketika dia berada di dalam kereta yang diparkir di bahu kiri jalan di simpang tiga Taman Jati semasa mahu mengambil anak lelakinya pulang dari sekolah.
Athimulan: Merujuk perenggan dua (penyataan bertulis), nampak beberapa pelajar sekolah sedang rem motosikal dan berpusing-pusing. Berapa ramai yang rem?
Zuraida: Ramai.
Athimulan: Berapa orang?
Zuraida: Tujuh ke lapan orang.
Athimulan: (Motosikal) pusing-pusing ke mana?
Zuraida: Simpang ke bawah, kemudian simpang ke masjid.
Athimulan: Semua motosikal itu rem ke?
Zuraida: Ya.
Athimulan: Dari masjid ke sekolah dan patah balik?
Zuraida: Ya
Athimulan: Berapa kali mereka pusing?
Zuraida: Tidak pasti, tapi banyak kali.
Zuraida berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, M. Athimulan dalam perbicaraan kes bunuh Muhammd Zaharif Affendi, 17, membabitkan pegawai polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.