fbpx

PM dianugerah pingat ‘El Sol del Peru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menerima penghormatan tertinggi Kerajaan Peru iaitu anugerah pingat 'El Sol del Peru'.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima penghormatan tertinggi Kerajaan Peru, anugerah pingat ‘El Sol del Peru’ yang dikurniakan oleh Presiden Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Pingat berkenaan kebiasaannya dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.

Anwar berkata, penganugerahan itu diharap menjadi permulaan baharu kepada perhubungan lebih kukuh antara kedua-dua negara.

“Saya berbesar hati menerima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima sambutan negara dalam kunjungan rasmi ke atas Boluarte di Istana Kerajaan di Lima.

Kedua-duanya kemudian menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (Promperu).

MoU kedua pula terkait kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (Inia) manakala MoU ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (Cenfotur) mengenai kerjasama dalam gastronomi dan hospitaliti.

Menerusi pertemuan itu juga Anwar berkata, turut dibincangkan peluang kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara selain Kerjasama Selatan-Selatan.

“Malaysia membayangkan untuk menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.

“Malaysia sedar kepentingan pelabuhan yang baharu dibangunkan ini dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, soal kerjasama dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan juga dibangkitkan.

“Kami berdua turut berkongsi aspirasi yang sama dalam soal memerangi rasuah dan memperbaiki tatakelola di negara masing-masing.

“Saya turut mempelawa Presiden Boluarte dan delegasi Peru untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI