KUALA LUMPUR – Skuad muda negara, AMD Future memulakan saingan kategori B-14 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 dengan catatan positif selepas mengikat pasukan dari China, Evergrande Football School dengan keputusan 2-2.
Berdepan dengan pasukan lawan yang memiliki kelebihan fizikal tidak mengentarkan anak didik Azni Ariffin yang bertahan dengan penuh disipilin sehingga wisel penamat.
Menurut Azni, sebelum perlawanan anak didiknya telah diberikan penerangan dan motivasi untuk memastikan langkah positif diraih pada aksi pertama.
“Saya telah maklum dari awal bahawa pasukan akan berdepan dengan lawan yang memiliki kelebihan fizikal dan telah membuat analisis mengenai pasukan lawan.
“Motivasi yang diberikan agar pemain berani nyata memberikan impak kerana kita lihat pasukan berjaya mengimbangi kekuatan pasukan lawan malah memberikan tekanan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azni menjelaskan masih banyak lagi perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang dan pemain mengetahui situasi ini.
“Teknikal dan kawalan bola serta pertahanan antara perkara penting yang akan dipertingkatkan pada perlawanan akan datang.
“Saya percaya pemain mampu melakukan yang lebih baik untuk meraih keputusan positif,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Padang C, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, AMD Future memperolehi dua gol menerusi jaringan Haziq Zamin pada minit ke-22 dan Qayyum Syazwan (m-59).
Gol pelawat pula dijaringkan pemain gantian Tang Xucan (m-34) dan Zheng Dingchang pada minit ke 58. – KOSMO! ONLINE