fbpx

Pesara tentera mejar jeneral berpangkat Datuk didenda RM150,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pesara tentera berpangkat mejar jeneral didenda sebanyak RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menerima wang RM100,000 bagi bayaran pembinaan sebuah rumah dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan. Zainal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Suzana menasihatkan tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Saya harap tertuduh benar-benar insaf, elak melakukan sebarang kesalahan pada masa akan datang,” kata hakim itu.

Zainal sebagai Asisten Ketua Staf Material menerima bayaran pembinaan rumah RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju, di sini pada 15 Mac 2022 dan dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Aznika Moh. Anas memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran selain memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Tertuduh bukan berpangkat biasa kerana beliau merupakan Asisten Ketua Staf Material yang merupakan antara pangkat tertinggi. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh,” katanya.

Peguam Wafa Shalehah Helmy memohon hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya merupakan pesara kerajaan dengan pencen RM8,500 sebulan yang digunakan untuk komitmen bulannya selain menanggung seorang isteri yang menghidap kencing manis.

“Anak guam saya mempunyai penyakit darah tinggi. Faktor umur anak guam menjadi salah satu mitgasi pihak pembelaan memohon supaya mahkamah mempertimbangkan,” katanya yang turut dibantu peguam Ahmad Ilham Haridz.

Dalam prosiding sama, bagi satu lagi pertuduhan yang dihadapi Zainal ia dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI