fbpx

Pemandu lori seleweng diesel jual kepada sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN Perak memeriksa tangki di dalam sebuah lori yang digunakan bagi menyeleweng diesel di sebuah premis di Batu Gajah semalam. - Foto IHSAN KPDN

IPOH – Segelintir pemandu lori di Batu Gajah dikesan menyeleweng minyak diesel kenderaan berat milik syarikat masing-masing tersebut dengan menjualnya kepada pihak sindiket pada harga RM2 seliter.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aktiviti penyelewengan itu dibanteras menerusi Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, Batu Gajah semalam.

Menurut beliau, operasi yang dilaksanakan pihaknya kira-kira pukul 7.30 pagi itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Batu Gajah.

“Mengikut maklumat, disyaki pemandu-pemandu lori yang tidak amanah ini akan menjual minyak diesel lori syarikat tempat mereka bekerja dengan harga RM2 kepada pihak sindiket.

“Ia dilakukan dengan menyedutnya dari tangki asal lori mereka menggunakan pam serta hos masuk ke dalam tangki asal lori sindiket dan terus ke tangki tambahan yang disembunyikan di atas lori,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kamalludin, pihak sindiket kemudiannya akan menjual kepada syarikat pelombong pasir dengan harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera melombong pasir.

Katanya, ketika serbuan di tempat kejadian, pemandu lori sedang memindahkan minyak diesel dari tangki tambahan menggunakan pam penyedut ke dalam beberapa bekas untuk kegunaan di tapak pelombongan pasir.

“Hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 1,725 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam dua tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berada di dalam lori. Tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, cecair yang disyaki minyak diesel, kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam minyak, wayar hos dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut.

“Dua lelaki warga tempatan berbangsa India yang disyaki sebagai pemandu lori dan pemilik premis masing-masing berumur 28 tahun dan 41 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM58,577.75. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI