BARCELONA – Perebutan gelaran dunia MotoGP 2024 sudah berada di kemuncak apabila Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dan Jorge Martin bakal berentap menentukan nasib mereka di Grand Prix Barcelona hujung minggu ini.
Juara bertahan, Bagnaia memberikan amaran kepada Martin bahawa tekanan untuk memenangi gelaran dunia boleh menyebabkan perasaan gementar sekali gus boleh menyumbang kepada kesilapan.
Martin turun ke Barcelona dengan mengungguli carta kejuaraan dengan kelebihan 24 mata dan pelumba Pramac racing itu dijangka dinobatkan sebagai pemenang pada perlumbaan pecut yang berlangsung Sabtu ini nanti.
“Untuk Jorge (Martin) ini pasti bukan perkara mudah. Apabila gugup, anda boleh menjadi lebih agresif dan terdedah kepada kesilapan.
“Saya tahu perasaan ini kerana saya juga pernah berada dalam situasi sama sebelum ini,” kata Bagnaia.
Bagnaia telah memenangi 10 perlumbaan sepanjang musim ini, termasuk Grand Prix Malaysia minggu lalu selepas pertembungan sengit dengan Martin pada pusingan awal.
Dalam perlumbaan di Barcelona pada bulan Jun lalu, Bagnaia tampil cemerlang namun terjatuh dalam pecut.
Bagaimanapun, dengan cuaca November yang lebih sejuk, Bagnaia menegaskan keadaan trek akan lebih mencabar kali ini.
“Saya tahu kekuatan saya di Barcelona, tetapi keadaan kini jauh berbeza. Cuaca yang sejuk memerlukan ketenangan dan disiplin untuk mengelakkan kesilapan,” tambah Bagnaia.
Perlumbaan terakhir MotoGP 2024 terpaksa dialihkan ke Barcelona dan dianjurkan sebagai perlumbaan solidariti bagi memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa banjir di Valencia. – AGENSI