KUALA LUMPUR – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) memperkenalkan pakaian seragam baharu yang lebih selari dengan identiti jenamanya pada Majlis Pelancaran Malakoff Brand Experience 2024 di Akademi Kecemerlangan Malakoff di sini, hari ini.
Acara berkenaan, yang diadakan setahun selepas pelancaran identiti jenama baharu Malakoff pada Jun tahun lalu mengumpulkan semua anak syarikatnya, termasuk Alam Flora dan Alam Flora Enviroment Solutions (AFES) bagi mengukuhkan mesej kesatuan jenama serta penjajaran dalaman di seluruh organisasi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kejayaan penjenamaan semula sebelum ini merupakan satu kenyataan kepada dunia bahawa Malakoff lebih daripada sekadar pengeluar tenaga bebas terbesar di Malaysia.
“Kami teguh dengan komitmen untuk masa depan yang lebih hijau, sambil memastikan keselamatan tenaga negara kekal kukuh.
“Setiap anak syarikat memainkan peranan penting dalam perjalanan ini dan bersama-sama, kami membentuk masa depan Malakoff sebagai kuasa bersepadu dan mampan dalam sektor tenaga,” katanya pada ucaptama majlis pelancaran tersebut.
Turut hadir Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Kumpulan, Suriati Mohammad Mokhtar.
Anwar menambah, acara berkenaan juga merupakan peristiwa penting dalam perjalanan berterusan Malakoff, terutamanya menjelang sambutang ulang tahunnya yang ke-50 tahun depan.
“Ini adalah peluang untuk menghidupkan jenama kami yang baharu, melibatkan diri dengannya dan berkongsi keseronokan tentang perkara yang akan datang,” ujarnya.
Malakoff ialah pengeluar tenaga bebas dan salah satu penyedia perkhidmatan alam sekitar terbesar di Malaysia. – KOSMO! ONLINE