PUTRAJAYA – Lesen operasi syarikat pengendali treler yang terbabit dalam insiden kemalangan dengan beberapa kenderaan termasuk Perodua Bezza di Pulau Pinang semalam bakal digantung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lesen syarikat itu boleh digantung jika didapati gagal dalam audit ataupun tidak mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan.
Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuat audit terhadap syarikat berkenaan.
“Saya melihat bahawa ini (insiden) ada unsur kecuaian dan juga unsur tidak mematuhi keselamatan oleh pengendali treler tersebut.
“Kita mengambil serius insiden ini malah, saya juga minta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyiasat punca kemalangan itu,” katanya ketika merasmikan penutup Bengkel Ekonomi Maritim di sini, hari ini.
Katanya, beliau juga mahu siasatan dilakukan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan kontena di atas treler kerana ketika kejadian kontena itu seolah-olah tidak dipasang dengan selamat.
Anthony Loke berkata, beliau juga difahamkan, treler itu lebih panjang daripada kontena yang di bawa kerana ia sepatutnya membawa dua buah kontena. – KOSMO! ONLINE