fbpx

Kos Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dimuktamad 16 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok, Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. FOTO ROHANA ISMAIL

NARATHIWAT, THAILAND – Thailand memuktamadkan segala aspek mengenai kos dan reka bentuk Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang pada 16 Disember depan.

Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham berkata, projek tersebut akan berjalan selepas mendapat kelulusan daripada kementerian berkaitan yang meluluskan segala perincian mengenai kedua-dua perkara.

Menurutnya, draf mengenai kos sebenar pembinaan jambatan baharu itu diputuskan pada 22 November ini sebelum pelaksanaan projek itu berjalan pada April tahun depan.

“Projek jambatan itu merupakan kerjasama antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara juga mahu jambatan baharu itu cepat disiapkan untuk kemudahan banyak pihak.

“Justeru, segala aspek berkaitan kos dan reka bentuk Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dimuktamadkan pada 16 Disember depan. Segala surat sudah ditandatangani untuk senarai sebut harga pembinaan projek tersebut daripada pihak kontraktor,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat di sini semalam.

Mengulas lanjut, Trakul memberitahu, draf rekaan jambatan tersebut ketika ini sudah hampir siap sepenuhnya, namun ia masih belum dimuktamadkan.

“Apa yang boleh disahkan adalah terdapat jata negara bagi Malaysia dan Thailand di Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang yang menunjukkan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Berdasarkan kerangka awal, jambatan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun iaitu pada April 2027 sekiranya tiada masalah semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan,” katanya.

Tambahnya, hanya tiga rumah buah keluarga melibatkan 12 individu yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok dipindahkan apabila kediaman mereka terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang di Rantau Panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut merupakan antara yang dibincangkan dengan rakan sejawatnya dari Thailand semasa melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ), Sungai Golok, Thailand pada Ogos lalu.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada bulan lalu berkata, pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor ke Tumpat melibatkan kos melebihi RM50 juta menerusi peruntukan hampir RM1 bilion.

Menurutnya, ia termasuk pembangunan pekan di sempadan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand yang turut diberi keutamaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI