PETALING JAYA – Malaysia meneroka potensi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) Emiriah Arab Bersatu (UAE).
NCEMA UAE merupakan sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang berkepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman UAE menangani cabaran bencana kompleks memberikan pengetahuan berharga dalam usaha Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu katanya, Nadma telah merangka beberapa cadangan antaranya menenerusi pemerhatian bumi menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal.
“Turut terlibat, sistem platform ketinggian tinggi yang menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi, penggunaan kecerdasan buatan (Al).
“Kenderaan Tindak Balas Bencana Khas Mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas,” ujarnya.
Selain luar pengurusan bencana Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal.
“Di samping itu, kami membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.
“Kolaborasi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE seterusnya mengangkat perkongsian ke tahap lebih tinggi dan kukuh untuk pertumbuhan bersama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.