IPOH – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu saksi pendakwaan ke-12 yang juga merupakan seorang remaja bawah umur bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie sedang nazak ketika dialihkan ke bucu simpang Jalan Taman Jati 1.
Mangsa juga dilihat meronta-ronta kesakitan dan cuba untuk bangun namun ditahan oleh bapanya.
“Semasa saya berada di tempat perlanggaran, saya nampak Zaharif baring meniarap muka ke atas jalan. Saya dapat melihat paha dan siku Zaharif mempunyai kecederaan.
“Saya juga nampak seorang lelaki turun dari kereta Ativa putih, datang ke arah tempat perlanggaran selepas memarkir keretanya di tepi jalan Pekeliling Meru Indah.
“Pada masa ini, ramai orang awam dan budak-budak sekolah kerumun dan cuba mengalihkan barang-barang Zaharif yang jatuh. Pemandu Ativa itu juga telah datang ke tempat Zaharif jatuh dan memarahi saya ‘apa pandang saya? Kau tengok apa? Kau tolong aku angkat dia, aku polis! dalam nada yang kuat,” katanya.
Perkara itu dinyatakan remaja terbabit ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Menurut saksi tersebut, ada orang awam memakai topi keledar telah mengangkat Zaharif pada bahagian kaki manakala pemandu Ativa pula mengangkat mangsa di bahagian ketiak.
Katanya, dia cuba menolong dengan memapah di bahagian belakang tengah badan Zaharif namun hanya berjalan sampai tengah jalan sebelum melepaskannya kerana berasa amat takut melihat keadaan Zaharif yang nazak.
“Saya sempat melihat lelaki itu (pemandu Ativa) dan orang awam yang mengangkat Zaharif meletakkan Zaharif di bucu simpang Jalan Taman Jati 1 sebelum berpaling balik ke kereta ibu dan lari balik.
“Semasa saya lari balik ke arah kereta ibu, saya nampak ibu berada di luar kereta Mitsubishi Triton sedang menghubungi ambulans,” katanya. – KOSMO! ONLINE