SUBANG – Enggan membayar denda kehilangan MyKad menyebabkan jurujual sanggup membuat laporan palsu, kononnya disamun sekitar Jalan USJ 14/1D, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa disamun ketika berjalan kaki di kawasan itu pada pukul 1 tengah hari.
“Jurujual itu mendakwa disamun oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal dan menggunakan pisau.
“Pengadu telah menyerahkan barang berharga kepada dua lelaki tersebut dan mengalami kerugian RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, hasil soal siasat terhadap pengadu mendapati kejadian samun tidak berlaku.
“Pengadu membuat laporan polis palsu kerana kad pengenalan telah hilang dan enggan membayar denda.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 182 / 395 / 397 Kanun Keseksaan (Akta 574),” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan untuk tuduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Pengadu akan dituduh di Mahkamah Shah Alam esok,” jelasnya.
Justeru itu, pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu.
“Mana-mana individu yang membuat laporan palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.