Saya selalu dengar orang berkata, ‘tak baik berbisik-bisik depan orang’. Benarkah terdapat larangan berbisik-bisik sesuatu di depan orang walaupun perkara rahsia? Mohon pencerahan.
Jawapan: Hukum berbisik-bisik sesuatu rahsia yang terdapat orang ketiga di sisinya adalah haram.
Hal ini demikian kerana perkara tersebut boleh menimbulkan syak wasangka sesama manusia serta timbul rasa sedih mahupun mencetuskan rasa sakit hati pihak ketiga yang berada bersamanya.
Berbisik kategori makruh apabila dua orang bercakap dengan bahasa atau dialek yang tidak difahami oleh orang ketiga bersama mereka.
Namun, pengecualian bagi mereka yang berbisik-bisik tanpa ada orang ketiga di sisinya kerana membincangkan hal-hal kebaikan seperti menyuruh bersedekah atau perancangan mendamaikan manusia yang bertujuan mencari keredaan Allah SWT adalah dibenarkan.
Seterusnya, tiada masalah berbual berdua-duan secara berbisik-bisik sekiranya di sekitarnya ada kehadiran orang melebihi tiga atau empat orang di situ kerana telah menghilangkan rasa curiga dan syak wasangka pihak ketiga.
Berbisik iaitu bercakap dengan suara yang perlahan oleh seseorang atau sesuatu kumpulan supaya tidak didengar orang lain disekitarnya.
Allah SWT maha mendengar segala bisikan rahsia manusia antara mereka yang terkandung perancangan jahat mahupun perancangan baik berdasarkan firman-Nya: “Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.” (Surah az-Zukhruf, 80)
Berbisik-bisik untuk membuat perancangan perbuatan jahat adalah dilarang kecuali mereka berbisik tanpa orang ketiga berkaitan rancangan untuk berbuat kebajikan dan kebaikan seperti menyuruh bersedekah mahupun perancangan untuk mendamaikan manusia.
Sehubungan itu, larangan berbisik-bisik berkaitan perkara maksiat dan mungkar melainkan berbisik-bisik untuk tujuan kebajikan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Seterusnya, berbisik-bisik berdua-duaan tanpa melibatkan orang ketiga yang berada di sekitarnya adalah dilarang kerana boleh menimbulkan syak wasangka dan kesedihan bagi pihak ketiga.
Daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila kalian berada seramai tiga orang, maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga, sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah).
Hal ini kerana berbisik boleh membuat orang yang ketiga bersedih.” (Riwayat Muslim, 2184)
Berdasarkan zahir hadis ini, larangan itu membawa kepada hukum haram. Perkara ini dijelaskan oleh ulama Abdurrahman al-Bassam dalam kitabnya:
ظاهر الحديث: أن التناجي المذكور محرَّم؛ لأن النهي يقتضي التحريم، فإن لم يصل إلى درجة التحريم، فأقل الأحوال الكراهة الشديدة
Zahir hadis ini menyatakan bahawa berbisik-bisik yang disebutkan adalah haram, kerana larangan membawa hukum haram. Sekiranya tidak sampai keperingkat haram, maka dalam situasi yang sedikit ia sangat dibenci (makruh).
Rasulullah melarang dua orang berbisik-bisik secara rahsia yang terdapat di sisinya kehadiran orang ketiga kerana wujudnya sebab (illah) orang ketiga akan berasa sedih.
Kefahaman daripada hadis ini juga menunjukkan bahawa larangan akan tergugur sekiranya berbisik-bisik berdua-duaan, kemudiannya sekitarnya melibatkan kehadiran ramai melebihi tiga atau empat orang, maka tiada masalah kerana telah menghilangkan rasa curiga pihak ketiga.
Oleh itu, dapat difahami bahawa dilarang berbisik-bisik berdua-duaan yang terdapat individu ketiga, melainkan telah hadir individu keempat atau lebih orang di sekitarnya agar tidak mengguriskan hati dan menyedihkan seseorang.
Justeru, semua perkara yang boleh menyinggung perasaan dan menyakiti hati sesama Muslim dan perkara yang menyebabkan syak wasangka perlu dielakkan.
Kesimpulannya, perbualan berdua-duan secara berbisik yang sekitarnya terdapat orang ketiga menimbulkan kecurigaan dan sangkaan buruk seolah sedang berbicara hal-hal yang buruk tentang orang ketiga.
Perkara ini juga mengguriskan hati dan menyedihkan pihak ketiga.
Sehubungan itu, terdapat beberapa pengajaran terhadap larangan berbisik-bisik ketika terdapat kehadiran orang ketiga disisinya.
Islam menjaga hubungan persaudaraan serta kasih sayang sesama manusia.
Islam menutup wasilah yang boleh membawa perkara yang menyakiti hati manusia lain sehingga menjejaskan hubungan persaudaraan. Islam mencegah perbualan yang tidak memberi manfaat dan sia-sia.
Islam memelihara adab ketika berinteraksi sesama manusia.