HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal memikul tanggungjawab besar menjaga adik bongsunya yang tahap kesihatannya semakin merosot ekoran penyakit diabetes kronik.
Suzilawati Peramly, 33, berkata, adiknya, Sidaratul Dursina yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam menghidap penyakit itu sewaktu berusia 12 tahun.
“Penyakit yang dideritai adik saya semakin kronik sejak akhir-akhir ini sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan di kaki pada 21 Oktober lalu.
“Pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu itu adalah disebabkan komplikasi diabetes menyebabkan kulit betis adik saya berubah kehitam-hitaman dan bernanah akibat bisul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Basung di sini baru-baru ini.
Suzilawati memberitahu, ekoran penyakit itu, adiknya yang berusia 20 tahun perlu menjalani rawatan berkala bagi merawat luka dan rawatan diabetes di Klinik Kesihatan Kampung Tekawang di sini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga adiknya selepas berpisah dengan bekas suami dan kematian ibu mereka. Mereka berlima kini menetap di rumah pusaka arwah ibu mereka.
Bapa mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akan membantu membawa Sidaratul ke klinik kesihatan dan hospital sekiranya memerlukan.
Suzilawati berkata, dia menyara keluarga dengan menjual kuih dan pendapatan diperoleh tidak sampai RM500 sebulan. Biarpun serba kekurangan, dia berjanji akan menjaga Sidaratul selagi hayat dikandung badan.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11500-41-000094376 atas nama Sidaratul atau menghubungi Suzilawati di talian 011-39167587.