KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kerajaan sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada barisan atlet negara melalui pelbagai inisiatif seperti simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), program Road to Gold (RTG) dan pelbagai bantuan kewangan tambahan.
Bagaimanapun, beliau turut menekankan keperluan untuk meningkatkan profesionalisme, disiplin dan komitmen dalam kalangan atlet bagi memastikan mereka mampu memberikan saingan di peringkat antarabangsa.
Menurut Hannah, sokongan yang telah diberikan mencerminkan usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik buat atlet negara, selain menyatakan kejayaan bukan hanya bergantung kepada sokongan kerajaan, malah disiplin dan usaha gigih daripada setiap atlet.
“Saya percaya bahawa kita perlu mendengar kata-kata atlet tetapi pada masa yang sama, kita telah memberikan banyak kepada atlet. Sekarang kita memerlukan disiplin, professional dan kerja keras daripada para atlet,” katanya pada sidang akhbar Post Mortem Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Hannah turut berkongsi pandangan daripada jurulatih luar negara, khususnya dari China yang menyatakan atlet Malaysia perlu meningkatkan usaha mereka agar setanding dengan rakan-rakan atlet di negara lain.
“Jurulatih dari China ada memberitahu saya bahawa atlet kita kurang bekerja keras jika dibandingkan dengan atlet mereka. Di Malaysia, kita mungkin menetapkan latihan selama 8 jam sehari, namun di negara lain, ada yang berlatih hingga 20 jam sehari,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan perbezaan dalam intensiti latihan turut memainkan peranan besar dalam membentuk daya saing selain menekankan persaingan di peringkat antarabangsa semakin sengit, sekali gus memerlukan komitmen maksimum bagi memastikan atlet negara tidak ketinggalan. – KOSMO! ONLINE