LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dilapor menolak satu lagi tawaran kontrak baru dari kelabnya ketika Real Madrid dilaporkan mengintai peluang untuk memancing pemain berbakat itu pada Januari.
Alexander-Arnold dilaporkan layak menandatangani perjanjian prakontrak dengan kelab lain mulai 1 Januari nanti dan berpotensi menyaksikan pemergiannya dari Liverpool secara percuma meninggalkan Anfield.
Bagaimanapun, Liverpool sedang berusaha keras untuk mengekalkan pemain yang diakui sebagai antara bek kanan terbaik dunia, namun minat daripada Real semakin kukuh terutama selepas sahabat baiknya, Jude Bellingham turut berada di sana.
Biarpun begitu, perpindahan pada Januari dilihat tidak mungkin berlaku kerana Alexander-Arnold tidak mahu meninggalkan The Reds di tengah musim, terutama ketika pasukan itu berada di kedudukan terbaik dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Selain itu, dia juga ingin memastikan jika pemergiannya berlaku, ia dilakukan dengan cara baik dan penuh penghormatan kepada kelab yang menjadi sebahagian besar hidupnya sejak kecil.
Alexander-Arnold turut menyatakan kejayaan bersaing untuk piala lebih penting daripada faktor kewangan, selain memuji pengaruh pengurus baru, Arne Slot yang menurutnya telah membantu meningkatkan gaya permainannya. – AGENSI