MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Mason Mount yang mengalami musim suram di bawah kendalian Erik Ten Hag dijangka mendapat nafas baharu di Old Trafford selepas pelantikan Ruben Amorim sebagai pengurus baru.
Amorim yang dikenali dengan gaya pengurusan dinamik dan taktikal moden dilapor merancang untuk menjadikan Mount sebagai tunjang utama dalam barisan perancangannya dan ia disambut baik oleh peminat United.
Mount yang berpindah dari Chelsea ke Manchester United pada musim panas 2023 dengan nilai lebih £50 juta (RM283.25 juta) tiba bersama harapan tinggi untuk memberikan impak besar kepada United.
Penyerahan jersi ikonik No. 7 kepadanya menandakan kepercayaan tinggi kelab terhadap bakatnya, namun perjalanan awal Mount di United tidak berjalan lancar apabila kecederaan dan kesukaran menyesuaikan diri dengan sistem Erik Ten Hag menyebabkan dia hanya tampil enam kali musim ini.
Bagaimanapun, pelantikan Amorim dilihat membuka lembaran baharu buat Mount selepas pengurus berusia 38 tahun itu mempunyai rekod cemerlang dalam menggilap bakat muda semasa bersama Sporting CP.
Amorim merancang menggunakan Mount dalam sistem permainan yang memberi kebebasan lebih besar, membolehkan pemain berusia 25 tahun itu beraksi sebagai penggerak serangan di tengah padang iaitu satu posisi yang mungkin mengeluarkan potensi terbaik Mount.
Taktik baru tersebut melibatkan dua posisi di belakang penyerang utama dan akan menyaksikan Mount perlu bersaing dengan pemain berbakat seperti Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Amad Diallo dan Alejandro Garnacho. – AGENSI