KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti intervensi kesihatan awam yang menawarkan pulangan pelaburan terbaik untuk kesejahteraan jangka panjang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia, sebanyak empat intervensi utama digariskan memberi pulangan pelaburan (ROI) tertinggi dalam tempoh 15 tahun.
“Setiap RM1 yang dilaburkan dalam intervensi kesihatan awam dijangka memberikan pulangan seperti RM60.06 untuk program pengurangan garam, RM6.64 (aktiviti fizikal) dan RM5.93 (kawalan tembakau),” katanya di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia dan Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 dan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly memaklumkan, empat penyakit tidak berjangkit memberi beban kepada ekonomi negara dianggarkan berjumlah RM64.2 billion.
“Ia melibatkan penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes, dan respiratori kronik.
“Kos penjagaan kesihatan langsung adalah sebanyak RM12.4 billion manakala kos tidak langsung sebanyak RM51.8 billion,” ujarnya.
Selain itu, Dzulkefly berkata, kerajaan juga bersedia untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan kawalan terhadap rokok elektronik (vape) sekiranya terdapat penemuan baharu tentang kesan penggunaannya.
“Seperti mana yang lain undang-undang ia bukan statik, we will revisit (kita akan pinda semula). Untuk sekarang, ada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kawal selia untuk vape,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.