GEORGE TOWN – Dua premis di daerah Barat Daya di sini diarah menutup operasi perniagaan dengan serta-merta selama 14 hari mulai hari ini ekoran penemuan najis tikus dan gagal menitikberatkan tahap kebersihan.
Menerusi Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), operasi yang dijalankan Jabatan Pelesenan Majlis MBPP pagi tadi memfokuskan pemeriksaan kebersihan dan pemantauan lesen premis-premis perniagaan runcit dan makanan di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi yang melibatkan seramai 12 pegawai Jabatan Pelesenan itu, sebanyak tujuh premis telah diperiksa dan dua daripadanya telah diarahkan tutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini.
“Penutupan dua premis ini ekoran penemuan urungan tikus (najis tikus), markah greding rendah dan aspek lantai dapur tidak bersih,” katanya di sini petang tadi.
Dalam operasi tersebut, sebanyak tiga Notis Tawaran Kompaun (NTK) iaitu dua NTK mengikut UUK 17(1) – Tidak Dapat Mengemukakan Doktor (Suntikan Vaksin Anti-Tifoid) dan 1 NTK mengikut UUK 12(2) – Meletakkan Makanan Mentah Kurang 20cm Dari Paras Lantai turut dikeluarkan.
Disamping itu katanya, kesemua pengusaha dan pekerja yang menguruskan premis perniagaan runcit dan makanan yang telah diperiksa turut diberi penerangan mengenai piawaian kebersihan dan garis panduan yang telah ditetapkan MBPP. – KOSMO! ONLINE.