KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula daripada tahun satu sekolah rendah menerusi kurikulum persekolahan 2027.
Timbalan menterinya, Wong Kah Woh berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara pembelajaran bersepadu yang menggabungkan bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
“Bagi murid di tahun lima dan enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan Pertanian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) adakah Kementerian berhasrat mempertimbangkan cadangan memperkenalkan laluan program TVET seawal usia tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, pembelajaran akan dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang.
“Kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mendorong minat mereka dalam bidang TVET,” ujarnya.
Katanya, KPM yakin inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah. – KOSMO! ONLINE