KUALA LUMPUR – Tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan-Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) sekiranya didapati bersalah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, larangan aktiviti penderaan sememangnya dikuatkuasakan dalam Perintah Tetap Pegawai Kadet sejak penubuhan ALK-UPNM.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengakui dan bertanggungjawab berkenaan kes-kes buli yang berlaku di bawah ALK-UPNM.
“Kementerian ini tidak berkompromi dengan perilaku sedemikian dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan atau laporan dibuat.
“Saya memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama penuh bagi sebarang tindakan selanjutnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, Mindef melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan turut melaksanakan siasatan dalaman di peringkat ALK-UPNM apabila wujud sesuatu aduan atau laporan.
Sebelum ini, seorang penuntut tahun satu UPNM dilaporkan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior pada 21 Oktober lalu.
Selain itu, seorang pelajar tahun empat UPNM telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur selepas menekap seterika terhadap seorang pelatih tahun dua.
Dalam kejadian jam 11.45 malam 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum diminta menggosok bajunya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali. – KOSMO! ONLINE