fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia-Korea Selatan dalam proses rundingan kerjasama pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ketika di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Korea Selatan sedang melalui proses rundingan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua negara sentiasa berinteraksi melalui mesyuarat, penganjuran seminar dan penyertaan dalam pameran pertahanan antarabangsa.

“Kerjasama strategik dalam pembangunan keupayaan industri tempatan juga turut dilaksanakan melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) yang tercetus melalui kontrak perolehan utama dengan syarikat dari Korea Selatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai jalinan kerjasama strategik antara Mindef dan Kerajaan Korea Selatan dalam membangunkan keupayaan industri pertahanan tempatan.

Mohamed Khaled berkata, ICP itu bertujuan untuk menggalakkan pemindahan teknologi dan pembangunan pengetahuan yang strategik untuk dijadikan pemangkin kepada syarikat tempatan.

“Ia supaya mereka boleh terbabit dalam kerjasama strategik global yang menyumbang kepada pembangunan teknologi dan pertumbuhan industri di dalam negara.

“Terdapat juga syarikat tempatan yang sudah menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat dari Korea Selatan dalam pembangunan kepakaran dan pemindahan teknologi dalam bidang penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) peralatan ketenteraan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI