KUALA LUMPUR – Syarikat perniagaan dalam talian, FashionValet (FV) merekodkan kadar pertumbuhan lebih 100 peratus dari 2013 hingga 2017 dengan hasil hampir RM60 juta.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data itu didapati ketika Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menilai potensi pelaburan terhadap syarikat terbabit.
Menurutnya, pelaburan oleh Khazanah dan PNB digunakan untuk mengembangkan platform FV supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan.
“FV telah mencatatkan pulangan tunai positif untuk beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai faktor kegagalan pelaburan dalam FV.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan pasangan pengasas FV selepas mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.
Dalam pada itu, Amir berkata, kegagalan FV boleh dikaitkan dengan faktor diluar jangkaan antaranya implikasi Covid-19 dan perubahan trend platform fesyen e-dagang.
“Oleh itu, platform FV terpaksa ditutup dan seterusnya beralih fokus kepada jenama sendiri, iaitu dUCk dan LILIT.
“Kesemua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai. Namun, pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko dengan menambah pelaburan dalam FV,” ujarnya.
Mengulas soalan tambahan Syerleena sama ada kes kerugian dalam FV akan menjejaskan pelaburan Khazanah dalam syarikat pemula dan modal teroka, Amir berkata, mandat terbabit masih dikekalkan.
“Isu FV tidak akan jejaskan Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula. Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah.
“Khazanah akan terus berusaha untuk menyokong syarikat pemula dan modal teroka sambil meningkatkan mekanisme kawalan (bagi menangani risiko kerugian dalam pelaburan),” jelasnya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, sejak daripada itu, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak.
“Proses pemilihan pelaburan juga diperketatkan termasuk pelaburan dalam syarikat pelaburan dan modal teroka,” katanya.
Tambahnya, selari dengan mandat Ekonomi Madani bagi memangkin ekonomi negara, keperluan untuk menyokong syarikat pemula adalah wajar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedar terdapat elemen ketidakjaminan dalam pelaburan membabitkan modal teroka.
“Menyedari risiko dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak (PNB dan Khazanah) berpendapat pelaburan ini harus diurus mengambil kira prestasi berasaskan portfolio pelaburan secara keseluruhan, bukan pelaburan sendiri.
“Sebagai contoh, pelaburan Khazanah dalam perniagaan tenusu tempatan melalui syarikat Farm Fresh. Ia modal teroka dalam sektor pertanian yang memberikan pulangan 13 kali ganda iaitu melebihi RM800 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE