JAKARTA – Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto menyatakan bahawa teguran kepada kumpulan lelaki bermotosikal yang membuat bising menjadi punca pergaduhan antara berpuluh-puluh askar dengan penduduk sebuah kampung di Deli Serdang, wilayah Sumatera Utara.
Laman berita Merdeka melaporkan, dalam kejadian pada malam Jumaat lalu, seorang warga emas terbunuh, manakala lapan penduduk Kampung Selamat mengalami kecederaan.
Menurut Agus, kejadian itu bermula apabila beberapa anggota TNI menegur sekumpulan ‘mat motor’ kerana mengganggu penduduk setempat dengan membuat bising di atas jalan.
“Anggota kami menegur dan mereka (kumpulan bermotosikal) enggan menerima teguran itu. Mereka bertengkar dan ia berlanjutan menjadi pergaduhan beramai-ramai,” ujarnya.
Beberapa media Indonesia sebelum itu melaporkan, mangsa yang meninggal dunia, Raden, tidak terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Ketua masyarakat setempat, Binawanti berkata, Raden keluar dari rumah kerana bimbang cucunya terlibat dalam pergaduhan tersebut sebelum dia dibelasah.
“Belum pun sempat Raden menemui cucunya, askar-askar tersebut memukulnya secara membuta tuli. Bahkan, ada seorang penduduk yang cuba membantu Raden turut dibelasah.
“Dia dibawa ke klinik terdekat, namun kemudian disahkan meninggal dunia,” kata Binawanti kepada laman berita Tribunnews.
Sementara itu, Komander Pusat Polis Tentera TNI, Mejar Jeneral Yusri Nuryanto berkata, setakat ini, seramai 45 anggotanya telah ditahan berhubung insiden tersebut.
Tambahnya, kesemua mereka akan disoal siasat bagi menentukan siapa yang terlibat dalam kes tersebut. – AGENSI