SHAH ALAM – Pengunjung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pilih Karnival Selangor Cyber Valley berpeluang memenangi sebuah kereta jenis Produa Bezza 1.0 G bagi pembelian mana-mana koleksi PKNS Homes.
Pengarah program, Ishak Hashim berkata, ia bersempena ulang tahun ke-60 PKNS bagi pembelian koleksi rumah tersebut bermula 15 Oktober hingga 31 Disember ini.
Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 23 November ini membolehkan pengunjung melihat pameran projek hartanah PKNS iaitu Intana Ria 3, Aludra, Puteri Ariana, Puteri Ariana 2, Puteri Ariana 3 dan Ixora.
“Kesemua projek perumahan itu berkonsepkan kediaman pangsapuri, rumah bandar dan rumah teres dua tingkat sebagai sebahagian usaha PKNS untuk memperluaskan portfolio rumah
kontemporari di beberapa lokasi.
“Ia bukan sahaja menawarkan kediaman yang memenuhi keperluan gaya hidup masa kini, malah pembangunan projek perumahan itu turut memberi tumpuan kepada binaan moden berkonsepkan teknologi hijau.
“Ini selaras dengan penekanan Perbadanan terhadap konsep kelestarian bagi menyokong amalan alam sekitar, governan atau tata kelola dan ekonomi (ESG) dalam setiap pembangunannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis penutupan program berkenaan yang diadakan di Galeri Jualan Cyber Valley akan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas.
Ishak memberitahu, program siri akhir PKNS Pilih Karnival juga menawarkan hadiah bernilai RM15,000 termasuk cabutan bertuah melibatkan sebuah motosikal, basikal dan skuter elektrik serta barangan istimewa lain.
“Pelbagai aktiviti disediakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, zoo mini dan cabaran libas takraw, penalti, timbang bola dan permainan uji minda bertema Sambung Lirik Lagu, Teka Apa Atas Kepala.
“Selain itu, pertandingan Street Soccer turut diadakan dengan tawaran hadiah wang tunai RM2,000 berserta pingat kepada juara,” katanya. – KOSMO! ONLINE