JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang waris pelajar memaksa murid lain bersujud kepadanya dan menyalak seperti anjing sebagai hukuman kerana membuli anaknya.
Portal berita Metro TV News melaporkan, kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah di Surabaya, wilayah Jawa Timur.
Dalam video itu, seorang pelajar yang masih lengkap dengan uniform sekolah disuruh meminta maaf oleh lelaki bernama Ivan Sugianto dan bersujud serta menyalak.
Bapa kepada seorang pelajar itu sebelumnya mencari mangsa di sekolah tersebut sambil ditemani beberapa murid lain.
Mangsa yang berusia 15 tahun dikatakan membuli anaknya beberapa hari sebelum itu.
Ibu mangsa, Ira Maria berkata, meskipun suaminya sudah meminta maaf atas kesalahan anak mereka, Ivan tetap mengancam pelajar tersebut.
“Suami saya tiba dan mengajak dia (Ivan) bersalam kerana dia sangat marah dan beremosi.
“Dia memarahi kami dan menjelaskan bahawa individu yang bersalah perlu bersujud dan menyalak,” kata Ira.
Dalam pada itu, polis berkata, kes itu masih dalam siasatan, manakala pihak sekolah terbabit masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan. – AGENSI