PUTRAJAYA- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) yang dibawa Nasiruddin Mohd. Ali adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat MKI Kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu setelah yakin and berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penyelidik.
Pengerusi MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, ajaran, pegangan dan fahaman daripada GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain mempunyai ciri-ciri penyelewengan.
Dalam konteks ini, ia berdasarkan kepada fakta bahawa pegangan GISBH ialah,
i) Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi.
ii) Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman.
(iii) Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.
(iv) Air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai keberkatan.
(v) Ajaran itu mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah.
(vi) Mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.
Susulan itu, Nooh berkata, mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan kerana perkara ini membawa penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE