fbpx

Wanita Thailand antara 3 ditahan edar jus dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Lazim menunjukkan botol minum berisi campuran dadah yang dirampas 7 November lalu.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand yang dipercayai bergiat aktif mengedar jus dadah pelbagai campuran di Lembah Klang, di dua kondominium sekitar ibu negara, 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, dua lelaki tempatan diberkas dalam serbuan pertama yang dijalankan di kondominium Jalan Ampang, di sini, pukul 11.50 pagi.

Katanya, hasil rampasan dalam serbuan pertama adalah 1,490 gram (g) ganja, ketamin (250 g) dan serbuk MDMA (58.73 g).

“Hasil soal siasat dan tindakan susulan, suspek telah membawa pasukan serbuan pergi ke sebuah kondominium di kawasan Sungai Besi, di sini.

“Kita menahan seorang wanita warga Thailand bersama serbuk MDMA (341.95 g), pil erimin 5 (36.97 g), ketamin (55.43 g), methamphetamine (7.73 g), pil ekstasi (18.81 g) dan 67,000 militer (ml) cecair MDMA,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Wangsa Maju hari ini.

Ujarnya, keseluruhan dadah bernilai RM115,122 dirampas bersama wang tunai berjumlah RM50,000 dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan jus dadah itu turut diedar ke pusat hiburan.

“Nilai pasaran jus dadah yang dibungkus semula dalam air kotak minuman bernilai RM1,380 per katon, air botol 500 ml (RM380) dan air botol 400ml (RM220). Sementara nilai pasaran dalam pusat hiburan bagi satu karton air kotak bernilai RM1,500, air botol 500 ml (RM480) dan air botol 400ml (RM320),” jelasnya.

Kesemua individu yang ditahan berusia 26 hingga 32 tahun manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, benzo dan THC selain mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah serta jenayah.

“Satu botol jus dadah ini boleh digunakan untuk lima orang dan keseluruhan dadah yang dirampas pula boleh digunakan oleh 3,020 penagih.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November dan disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Justeru, pihak polis menasihati orang awam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju talian 03-92810715 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI