WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamakan lebih ramai anggota pentadbirannya termasuk tokoh-tokoh berpengalaman menjelang pertemuan dengan Presiden Joe Biden.
Lelaki berusia 78 tahun itu menewaskan Naib Presiden AS, Kamala Harris dalam pilihan raya Presiden AS pada minggu lalu. Beliau kembali menemui Biden di Pejabat Oval, White House, Washington hari ini.
Trump mengumumkan bahawa individu terkaya dunia, Elon Musk akan mengetuai kumpulan kecekapan kerajaan AS baharu yang ditugaskan untuk mengurangkan pembaziran persekutuan.
Semalam, Trump menamakan seorang veteran tentera dan hos saluran berita Fox News, Pete Hegseth sebagai bakal setiausaha pertahanannya akan datang.
Sementara itu, media AS melaporkan bahawa Senator Florida, Marco Rubio akan dicalonkan untuk jawatan setiausaha negara, manakala anggota Kongres AS, Mike Waltz sebagai penasihat keselamatan negara.
Trump juga mengumumkan sekutu rapatnya iaitu bekas pengarah perisikan negara, John Ratcliffe untuk mengetuai Agensi Perisikan Pusat (CIA).
“Beliau akan menjadi pejuang yang berani untuk Hak-hak Perlembagaan bagi semua rakyat Amerika, sambil memastikan tahap tertinggi keselamatan negara,” kata Trump dalam satu kenyataan.
Pada Isnin lalu, beliau menamakan seorang pegawai imigresen veteran, Tom Homan sebagai ketua kawalan sempadan negara itu.
Dengan hanya lebih dua bulan sebelum bergelar Presiden AS yang seterusnya, Trump bergerak pantas untuk menyatukan kemunculan semula beliau yang luar biasa.
Dalam perkembangan berlainan, seorang hakim di New York menangguhkan keputusan sehingga 19 November ini yang berpotensi membatalkan sabitan pelbagai pertuduhan penipuan ke atas Trump menjelang pengumuman hukuman yang dijadualkan. – AFP