MELAKA – Pihak polis mendedahkan taktik terbaharu sindiket penipuan luar negara kini menyasarkan graduan universiti untuk dijadikan scammer dengan tawaran gaji permulaan mencecah RM5,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, graduan-graduan terbabit akan ditawarkan pekerjaan yang diperlihatkan sebagai tulen seperti bahagian khidmat pelanggan, perhubungan awam dan sokongan teknikal.
Katanya, mereka yang terpedaya bagaimanapun akan dikerah menjadi scammer dan ahli sindiket judi dalam talian di negara tersebut.
“Akan datang kita akan berdepan dengan kes pemerdagangan manusia yang semakin mencabar. Ada rakyat kita bukan bersekongkol, tetapi berperanan mengajak rakan-rakan ke luar negara.
“Terutamanya lepasan universiti yang ingin mula bekerja dengan tawaran gaji lumayan tanpa menyedari mereka menjadi ahli sindiket,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penguatkuasaan Atipsom 2024-Awareness To Action: Mobilising Against Human Trafficking and People Smuggling di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara negara-negara yang dilaporkan terlibat adalah Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar. – KOSMO! ONLINE