KUALA PILAH – Seorang mudir sebuah madrasah di Ulu Beting, di sini yang sebelum ini dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) memberitahu dia mahu bertaubat nasuha dan kembali semula kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Rayuan itu dibuat tertuduh, Zahanizam Rohan, 51, di hadapan Hakim Syarie Sabarudin Bidin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, di sini hari ini.
“Saya minta maaf dan ingin membuat rayuan sebab saya sedang menjalani proses pemurnian akidah rehabilitasi di Pusat Pemurnian Akidah di Ulu Yam selama tiga bulan anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“12 anak dan isteri saya ikut serta menjalani kursus. Saya masuk kursus ini secara sukarela dan saya nak bertaubat. Saya tidak kerja selama tiga bulan. Saya mohon dipertimbangkan rayuan saya,” katanya yang turut memaklumkan mendapat pendidikan agama di sebuah pondok di Terengganu.
Zahanizam dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan didenda sebanyak RM2,000. Hakim Sabarudin turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE