SUNGAI GOLOK, THAILAND – Tempahan bilik di Genting Hotel di sini jatuh merudum sehingga 80 peratus selepas seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di hotel berkenaan pada 1 November lalu.
Pengarah Urusan Genting Hotel, Sompoch Hongkittiyanonta berkata, sebelum ini, tempahan 230 bilik bagi tiga kategori di hotelnya penuh terutama pada Jumaat dan Sabtu.
Bagaimanapun, tempahan bilik di hotel bertaraf tiga bintang itu hanya mencecah 15 hingga 20 unit selepas tangkapan membabitkan enam rakyat Malaysia tersebut.
“Sebelum ini, hotel kami memang menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya dari Kelantan yang datang bercuti di Sungai Golok.
“Selepas kes penahanan enam rakyat Malaysia, semua jadi takut untuk menginap di sini.
“Pada hari biasa, 50 hingga 60 buah bilik ditempah rakyat Malaysia di Genting Hotel. Pada hari minggu, tempahan bilik di sembilan tingkat hotel ini pasti penuh.
“Sekarang mahu dapat 20 tempahan bilik pun sakit. Hari ini (semalam) baru tujuh tempahan bilik dibuat pelanggan sejak pagi hingga lewat petang,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan semalam.
Sompoch mengakui perniagaan Genting Hotel yang kini berusia 30 tahun bergantung penuh kepada pelanggan dari Malaysia.
Jelasnya, penahanan enam individu berhubung kes dadah di hotel itu pada 1 November lalu ternyata menjejaskan reputasi dan perniagaan Genting Hotel.
“Kita memang melarang pelanggan yang datang menginap di sini melakukan sebarang jenayah. Sekiranya mereka berada di dalam bilik, itu sudah di luar kawalan pihak kami.
“Jika pihak hotel tahu pelanggan membawa barang salah atau dadah, kita sendiri akan laporkan kepada pihak polis,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di Genting Hotel di sini pada 1 November lalu.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 25 hingga 34 tahun tersebut ditahan di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan di bahagian bawah hotel tersebut.
Sumber berkata, ketika serbuan pada pukul 5 pagi tersebut mereka sedang berehat di dalam bilik.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali. – KOSMO! ONLINE