PARIS – Perkembangan mengejutkan daripada kem Perancis apabila penyerang sensasi, Kylian Mbappe terus dipinggirkan menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Israel dan Itali minggu ini.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut pemain Real Madrid itu tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan ia sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai situasi Mbappe bersama Les Bleus.
Keadaan itu turut mencetuskan spekulasi yang mendakwa Mbappe sudah tidak lagi berminat untuk menyarung jersi pasukan Perancis selagi ketua jurulatih, Didier Deschamps mengemudi pasukan tersebut.
Difahamkan, beberapa lagi pemain Perancis dikatakan sudah tidak ‘sebulu’ dengan Deschamps dan mereka menggesa supaya Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) membawa masuk Zinedine Zidane bagi menggantikan tempatnya.
Sementara itu, Deschamps turut menafikan ketiadaan Mbappe disebabkan masalah peribadi ataupun berpunca daripada bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu terlibat dengan siasatan satu kes rogol.
“Saya tidak mahu bercakap banyak, cuma saya ingin katakan bahawa Mbappe mahu menyertai pasukan, bukan sebaliknya seperti yang didakwa. keputusan dibuat ini mungkin hanya bersifat sementara sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, sebahagian besar penyokong Perancis menganggap keputusan itu logik memandangkan Mbappe gagal membuktikan kemampuan sebenar apabila dia menampilkan aksi hambar bersama Real musim ini.
Ketika tewas 0-4 kepada Barcelona bulan lalu, Mbappe menjadi salah seorang pemain yang menerima kecaman penyokong sendiri gara-gara aksi kurang memuaskan. – AGENSI