PETALING JAYA – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan Polisi Kelestarian baharu bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar di 29 rangkaian hospitalnya.
Bagi menyokong usaha ini, Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) menjadi hospital pertama dalam rangkaian KPJ yang menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GB).
Pensijilan GBI ini mengiktiraf DSH2 sebagai hospital bertaraf tinggi dalam kecekapan tenaga, perancangan tapak bangunan yang lestari dan kualiti persekitaran dalaman, sekali gus menjadi contoh bagi hospital pakar KPJ yang lain.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, dasar yang dirangka dalam Polisi Kelestarian ini akan menggalakkan amalan kemampanan yang baik bagi setiap proses dan garis panduan operasi Kumpulan akan dapat membantu mengurangkan impak alam sekitar sambil mengekalkan standard tertinggi dalam penjagaan kesihatan.
“Dengan penarafan GBI yang diberikan kepada DSH2, kami menetapkan satu piawaian tanggungjawab alam sekitar sekali gus mencerminkan komitmen kami kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran Sustainability Day 2024 di sini.
Selain itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan menerangkan, polisi tersebut merupakan rujukan utama pihaknya dalam aspek penggunaan tenaga boleh diperbaharui, strategi pengurusan sisa dan piawaian bangunan hijau di seluruh rangkaian hospital kami.
“Setiap ahli KPJ Healthcare mempunyai peranan penting dalam usaha ini, demi mengukuhkan komitmen kami kepada masa depan yang lebih sihat untuk pesakit dan juga planet,” ujarnya.
Tambah beliau, KPJ Healthcare akan terus memperkukuh amalan kelestariannya berdasarkan polisi tersebut untuk meletakkan penanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Melalui usaha dan inisiatif yang berterusan, Kumpulan berhasrat untuk menubuhkan model penjagaan kesihatan yang mengutamakan penjagaan pesakit dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. -KOSMO! ONLINE