BANGKOK – Seorang wanita dari Thailand mengejutkan pengguna media sosial selepas mendedahkan bahawa sebatang jarum tertinggal di dalam kemaluannya ketika dia bersalin 18 tahun lalu, lapor laman berita South China Morning Post kelmarin.
Pendedahan itu dibuat di laman web rasmi Yayasan Pavena untuk Kanak-kanak dan Wanita, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.
Yayasan itu menyatakan bahawa ia mendapat surat daripada seorang wanita berusia 36 tahun dari Narathiwat, wilayah selatan Thailand, yang namanya tidak didedahkan.
Wanita tersebut tidak menyedari keadaan itu sehingga tahun lalu apabila pemeriksaan X-ray di sebuah hospital kerajaan mendedahkan penemuan jarum di dalam kemaluannya.
Walaupun dia kemudian dirujuk ke hospital di wilayah Songkhla untuk pembedahan, prosedur tersebut telah ditangguhkan tiga kali kerana jarum itu berubah-ubah kedudukan.
Seorang netizen yang membaca tentang masalah wanita itu membuat komen di media sosial dengan menulis: “Dia patut saman doktor sepenuhnya! Mereka harus memberi pampasan kepadanya.”
Butiran mengenai bila jarum itu boleh dikeluarkan dan tempoh rawatan perubatan yang diperlukan tidak didedahkan. – AGENSI