SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar para graduan tidak terlalu memilih ketika melangkah ke alam pekerjaan.
Seri Paduka Baginda bertitah, para graduan perlu menyambut peluang pekerjaan yang ditawarkan pelbagai sektor dan industri di negara ini.
“Jika terlalu memilih, para graduan akan kekal menjadi ‘penganggur terhormat’ dan peluang pekerjaan yang ada akan direbut oleh pekerja asing.
“Akibatnya, anda semua dan negara yang akan rugi,” titahnya bersempena Istiadat Pemasyhuran Canselor Universiti Teknologi Mara (UITM) ke-7 dan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sultan Ibrahim turut menegaskan, sudah sampai masanya untuk rakyat belajar berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata yang akan melahirkan sikap malas dan sentiasa menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.
“Sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara hendaklah menolak sikap buruk ini.
“Budaya dan sikap hidup bergantung boleh membunuh keyakinan diri serta semangat memajukan diri, akhirnya membenam usaha negara untuk terus maju,” titahnya.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, sikap prasangka antara satu sama lain bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat malah menggagalkan usaha membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu.
“Kita telah berjaya melawan virus Covid-19 tetapi ada satu virus yang susah diatasi iaitu virus perpecahan.
“Lebih mendukacitakan, setiap isu akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga membawa kepada keadaan yang lebih sukar.
“Justeru, jika kita hendak mengubah nasib bangsa dan negara, semua pihak dari generasi muda sehingga pegawai kerajaan dan ahli politik mesti berani melakukan perubahan kepada diri sendiri dahulu,” titahnya.
Pada istiadat tersebut, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif kepada Tunku Azizah atas sumbangan dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya pada peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE