KUALA LUMPUR – Tindakan tidak berperikemanusian seorang ibu kandung dan rakannya yang mengurung kanak-kanak lelaki dalam sangkar kucing akhirnya berbalas apabila mereka masing-masing dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu mangsa yang berusia 20 tahun dan rakannya Adibah Mohd. Zaini, 35, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama didakwa telah melakukan penganiayaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun enam bulan dengan cara memasukkan kanak-kanak itu di dalam sangkar kucing di mana perbuatan itu boleh mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah apartment di Taman Danau Desa di sini pukul 8.16 malam pada 10 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, ibu mangsa yang bekerja di restoran makanan segera dan Adibah yang juga suri rumah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah hukuman ringan kerana menyesal dengan kesalahan dilakukan.
Adibah dalam rayuannya memohon hukuman denda dan ringan berikutan mempunyai dua anak berusia 11 tahun dan setahun tujuh bulan.
“Saya menyesal selepas berada dalam lokap dan ia memberi keinsafan dan penyesalan kepada saya. Saya janji tidak akan melakukan kesilapan sama lagi,” katanya.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Nidzuwan Abd. Latip memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang sebagai satu pengajaran.
Sementara itu di mahkamah sama, ibu mangsa turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama iaitu membalut mangsa dengan pita pelekat pada tempat sama pukul 3.58 petang pada 21 Februari lalu mengikut seksyen dan memperuntukkan hukuman sama.
Mahkamah kemudian turut menjatuhkan hukuman penjara sama dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Terdahulu pada Isnin lalu, ibu mangsa dan dua rakannya iaitu Adibah serta Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25, dihukum penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menendang mangsa. – KOSMO! ONLINE