SUNGAI PETANI – Seorang bapa merayu anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu agar segera kembali ke pangkuan keluarga.
Mohd Izal Ismail, 49, berkata, dia bimbang dengan keselamatan anaknya, Nurul Atiqah, 22, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan lembam.
Katanya, dia yang menghidap penyakit jantung kini tertekan dan terpaksa mengambil ubat penenang.
“Belum hilang sedih akibat kematian isteri, Norhayati Shafie dua tahun lalu, kini saya diuji lagi dengan tindakan satu-satunya anak perempuan daripada lima beradik ini yang keluar rumah,” katanya ketika ditemui di Bukit Selambau, di sini hari ini.
Mohd Izal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, sehari sebelum anaknya menghilangkan diri, dia ada menegur anaknya itu yang dipanggil kakak supaya mengemas rumah.
“Kira-kira pukul 2 petang Isnin lalu, saya dimaklumkan seorang penduduk taman mengatakan dia nampak anaknya berjalan kaki bersebelahan masjid Al-Wajdi yang terletak berdekatan rumah sambil membawa sebuah beg pakaian.
“Saya cuba menghubunginya namun tida berjawab sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Selambau,” jelasnya.
Mohd Izal berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Nurul Atiqah boleh menghubunginya di talian 014-5456082 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE