MANCHESTER – Manchester United mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan khidmat empat jurulatih mereka termasuk pengurus interim, Ruud Van Nistelrooy selepas kehadiran pengendali baharu, Ruben Amorim.
Van Nistelrooy mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara selepas Erik Ten Hag dipecat sebelum ini dengan rekod tiga kemenangan dalam empat perlawanan, namun tidak menjadi pilihan Amorim untuk terus kekal.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, Van Nistelrooy akan meninggalkan Old Trafford bersama tiga lagi rakannya termasuk Rene Hake, Jelle Ten Rouwelaar dan Pieter Morel.
“Ruud akan sentiasa kekal menjadi seorang legenda Manchester United. Kami sangat bersyukur dengan penglibatannya bersama pasukan ini dan cara beliau mengendalikan pasukan ini sangat luar biasa.
“Beliau sentiasa dialu-alukan untuk berada di Old Trafford selepas ini,” menurut kenyataan tersebut.
Perkembangan sebelum ini menyaksikan para peminat dan pemain berharap jurulatih berusia 48 tahun itu akan kekal di United dan mengembangkan reputasinya sebagai seorang pengurus selepas melihat kesungguhannya memulihkan kelab itu ketika krisis prestasi.
Bagaimanapun, Van Nistelrooy secara terbuka mendedahkan bahawa beliau sangat berminat untuk kembali meneruskan karier sebagai pengurus sepenuh masa semula seperti yang dilakukan ketika bersama PSV.
Amorim yang sudah melaporkan diri membawa bersama staf sokongannya iaitu Carlos Fernandes, Adelio Candido dan Emanuel Ferro selain jurulatih penjaga gol, Jorge Vital dan pakar sains sukan, Paulo Barreira. – AGENSI