fbpx

Elak bergantung pada pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Golongan majikan di negara ini digalakkan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan beralih kepada mekanisasi atau automasi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, langkah itu dapat meningkatkan daya saing sektor perniagaan dalam jangka panjang.

“Beralih kepada kepada mekanisasi atau automasi juga memodenkan proses kerja dan menjadikannya lebih efisien serta produktif,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai cadangan menetapkan harga siling bagi pengambilan pekerja asing di Sabah memandangkan kos itu sangat membebankan.

Terdahulu, Abdul Rahman berkata, Kesuma dalam proses mengadakan sesi perundingan bersama negara sumber bagi memperincikan struktur kos pengambilan pekerja asing yang akan bekerja di Malaysia.

Ujar beliau, langkah itu sejajar dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 yang menerapkan konsep ‘transparency dan zero cost to the worker’ dalam kos pengambilan pekerja asing.

Kata beliau, pada masa sama, Kesuma akan meneliti beberapa perkara sebagai langkah mengurangkan impak kos pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, antaranya kos pengambilan yang dipersetujui dengan negara sumber akan diumumkan kepada majikan dan agensi pekerjaan swasta untuk meningkatkan pemahaman semua pihak.

“Langkah ini akan dikaji kerana ia memberi gambaran jelas tentang kos sebenar dalam pengambilan pekerja asing sekaligus membantu majikan merancang dengan lebih berkesan dan telus.

“Bagi calon pekerja asing, kementerian akan melaksanakan konsep pre-employment yang memberi pendedahan awal tentang jenis pekerjaan dan kos yang bakal terlibat di Malaysia.

“Pendekatan ini diharapkan dapat meningkatkan kebajikan pekerja asing dan memudahkan majikan mencari pekerja yang benar-benar bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI