KUALA LUMPUR – Permohonan pinjaman bernilai RM14.975 bilion diluluskan dibawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sejak ia diperkenalkan mulai tahun 2008 hingga 31 Ogos 2024.
Jawatan dalam Kabinet, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raj Munni Sabu berkata, kelulusan SJKP itu telah memberikan manfaat kepada seramai 65,818 peminjam.
“Kerajaan menyediakan SJKP di bawah inisiatif i-Biaya yang memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah sedia ada atau lelongan.
Sepanjang pelaksanaan SJKP mulai tahun 2008 sehingga 31 Ogos 2024, permohonan pinjaman bernilai RM14.975 bilion telah diluluskan yang memberikan manfaat kepada 65,818 peminjam,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) berhubung kenaikan harga hartanah dan kekurangan rumah mampu milik menjadi masalah bagi golongan berpendapatan rendah.
Terdahulu, Raj Munni berkata, antara cabaran dalam sektor perumahan adalah peningkatan harga hartanah dan kekurangan Rumah Mampu Milik (RMM)
Menurut beliau, peningkatan harga rumah dipengaruhi pelbagai faktor antaranya lokasi rumah yang strategik, kos pembinaan rumah, kos infrastruktur, kos tanah, kos pematuhan serta keuntungan pemaju.
Kata beliau, kekurangan RMM disebabkan antaranya disebabkan kos pembinaan rumah semakin tinggi, isu projek RMM sakit dan terbengkalai serta kecenderungan pihak pemaju swasta untuk membayar levi, denda atau penalti berbanding menyediakan RMM.
“Sehingga 30 September 2024, sebanyak 443,259 unit RMM telah siap dibina, dalam pembinaan dan dalam perancangan di seluruh negara. Sasaran penyediaan 500,000 RMM hanya berbaki 56,741 unit rumah dan kerajaan yakin sasaran RMM ini dapat dicapai pada penghujung pelaksanaan RMKe-12,” katanya. – KOSMO! ONLINE