fbpx

APMM guna sistem C4ISR tangani ancaman jenayah di sempadan perairan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) bakal menggunakan sistem Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISR) bagi melengkapi keperluan operasi agensi ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sistem C4ISR akan mula beroperasi pada Februari tahun depan bagi memastikan Pusat Operasi Maritim (POMAR) dapat berfungsi dengan efektif dan lancar.

Katanya, ini khususnya dalam menerima serta menganalisis maklumat berkaitan dengan ancaman maritim, aktiviti jenayah terutamanya di kawasan hotspot sempadan perairan negara, selain mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara.

“Melalui penggunaan C4ISR, operasi dapat diselaraskan dengan pantas dan tepat, sekali gus membolehkan pegawai dan anggota yang berada di lapangan bertindak lebih cekap terhadap sebarang situasi.

“Ia melibatkan integrasi sistem milik APMM di Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan Stesen Udara Maritim Subang, serta agensi keselamatan yang menggunakan sistem yang sama seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Rosli berkata, C4ISR mempunyai tiga sistem utama iaitu MCGMDA (Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness), iaitu sistem integrasi bersama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Jabatan laut Malaysia (JLM) bagi pemantauan kapal-kapal yang mempunyai sistem Automatic Identification System (AIS).

Jelasnya, sistem MCGVTMS (Malaysia Coast Guard Vesel Tracking and Monitoring System) pula merupakan sistem bagi memantau aset-aset APMM dengan menggunakan Secured Automatic Identification System.

Ia bagi memastikan lokasi aset APMM ini tidak boleh dikesan menggunakan radar.

Ujarnya, MCGIIS (Malaysia Coast Guard Intelligence Information System) pula merupakan sistem bagi menganalisis data dan maklumat berkenaan jenayah rentas sempadan, hotspot dan ancaman maritim.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan mengenai perkara berkaitan penggunaan teknologi dalam meningkatkan kawalan sempadan.

Dalam hal berkaitan, Mohd Rosli memaklumkan, APMM akan membangunkan MCGNet (Malaysia Coast Guard Network) dalam mengukuhkan dan memartabatkan lagi komunikasi antara aset di laut dan udara seperti yang terkandung dalam C4ISR.

“Penggunaan C4ISR ini bakal memperkukuh lagi pengawasan di zon APMM daripada segala ancaman dan jenayah maritim dengan lebih efisien dan efektif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI