KUALA LUMPUR – Seorang penganggur direman selama tujuh hari selepas menyerah diri kerana membunuh dan menyembunyikan ibunya dalam peti sejuk di sebuah rumah di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG, di sini, sejak tiga tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan wanita berusia 80-an berkenaan.
“Suspek direman selama tujuh hari iaitu bermula hari ini hingga 19 November bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Tidak ada individu yang membuat laporan polis tentang kehilangan mangsa,” ujarnya ketika ditanya pemberita hari ini.
Katanya, suspek lelaki berusia 53 tahun itu merupakan seorang penganggur, tidak mempunyai rekod jenayah manakala mengenai status kesihatan, pihaknya masih menunggu laporan hospital.
“Suspek sendiri yang membuat panggilan polis bagi menyerah diri dan tindakan suspek serah diri kepada pihak polis masih dalam siasatan,” ujarnya lagi.
Jelasnya, masa kematian belum dapat disahkan setakat ini susulan ‘pending post mortem’.
Terdahulu Kosmo! melaporkan suspek ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, suspek membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu dibalut dengan tuala dan plastik sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku.
Suspek bagaimanapun membuat laporan polis semalam dipercayai akibat kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik. – KOSMO! ONLINE