KUALA LUMPUR – Seramai 107,453 atau 95 peratus peneroka Felda di seluruh negara sudah memperoleh hak milik tanah masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, berdasarkan peraturan sedia ada, Felda akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri mengeluarkan surat hak milik kepada peneroka yang sudah menyelesaikan hutang kepada agensi itu dan kerajaan negeri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peraturan itu selaras peruntukan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan perjanjian antara Felda dan peneroka.
“Surat hak milik dikeluarkan di bawah kuasa kerajaan negeri dan membabitkan Jabatan Tanah dan Galian, Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Ukur Negeri,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung usaha pertukaran hak milik peneroka melalui penyeragaman sistem pengurusan Felda.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata,Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyokong pembinaan pusat dialisis tambahan dalam Felda untuk membantu penduduk yang memerlukan rawatan dialisis.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dilaksanakan apabila 12 pusat dialisis yang disasarkan bagi tahun ini hingga 2025 siap dibina dan beroperasi terlebih dahulu.
“Buat masa ini, dua pusat dialisis siap dibina manakala enam lagi dalam pembinaan yang dijangka siap pada 2024 dan empat lagi dalam pembinaan yang dijangka siap tahun depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE