KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang dikaitkan dengan penipuan pelaburan ‘Paddy Jewellery’ Siti Hajartul Haini Abd. Hamid didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pesara membabitkan jumlah lebih RM26,000 berhubung pelaburan itu.
Bagaimanapun Siti Hajartul, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Mageswary.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdaya mangsa melalui urusan pelaburan emas “Paddy Jewellery” untuk mempercayai bahawa akan mendapatkan keuntungan sepertimana dijanjikan tertuduh.
Perbuatan tertuduh telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM26,750 yang di masukkan ke dalam akaun sebuah bank atas nama Syarikat Pewana Sweet milik syarikat tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini pukul 12.20 tengahari pada 2 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan tidak bekerja dan menanggung empat orang anak.
“Suami tidak bekerja… dia kini dalam rawatan demam denggi selain menghidap penyakit asma serta darah tinggi,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan Siti Hajartul diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 20 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki yang terlibat dengan pelaburan emas didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesye atas tiga pertuduhan menipu dan menerima deposit tidak sah berjumlah RM310,550 sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini, polis menahan Siti Hajartul di Pulau Pinang selepas disyaki terbabit dalam penipuan jualan emas hingga kerugian RM48.5 juta setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima sebanyak 69 laporan terhadap Siti Hajartul yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’.
Selain Siti Hajaratul, polis turut menahan empat lagi individu termasuk seorang wanita berusia 29 hingga 38 tahun secara berasingan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan tersebut.
Turut dirampas, enam unit telefon bimbit pelbagai jenama dan satu pasport Malaysia.
Siasatan awal mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa. – KOSMO! ONLINE