KUANTAN – Polis menemui petunjuk dalam pencarian remaja yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Paya Chedung di Maran pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa, Ummu Ayuni Mohd Khamis,15, dipercayai berada di utara tanah air.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak polis menemui beberapa petunjuk termasuk mengenalpasti lokasi remaja berkenaan,”katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan November 2024 yang diadakan di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan hanya kerana perselisihan kecil, seorang remaja perempuan nekad meninggalkan rumah keluarganya di Kampung Paya Chedung di sini Jumaat lalu.
Sebelum kejadian berlaku pergaduhan kecil antara Ummu Ayuni dan kakaknya yang meminta remaja itu membuang sampah menyebabkan mangsa merajuk dan keluar rumah mengikut pintu belakang.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, Pahang mencatatkan sebanyak 49 kes laporan orang hilang bermula Januari sehingga Oktober tahun ini dengan empat daripadanya masih belum ditemukan.
Beliau memberitahu keempat-empat mangsa yang belum ditemukan dua daripadanya adalah merupakan masyarakat Orang Asli di Rompin dan kes paling lama melibatkan seorang lelaki dari Felda Bukit Mendi, Bera. – KOSMO! ONLINE